Sunday, November 14, 2010

Susu Ibu

Ajaibnya kuasa Allah apabila seorang bayi dilahirkan, secara normal tubuh seorang ibu akan bertindak balas menghasilkan susu apabila hormon prolaktin dirembeskan. Menyusui bayi dengan susu ibu merupakan satu permulaan yang baik. Kebaikannya tidak hanya terserlah untuk bayi tetapi untuk ibu juga. Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran awal bayi. Pada permulaan, susu ibu awal yang dikenali sebagai kolustrum amat berkhasiat untuk makanan dan imuniti bayi kerana ketika itu perut bayi belum mampu menerima apa-apa makanan lain. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. pengeluaran susu ibu juga menggalakkan hormon oksitoksin dihasilkan bagi membantu rahim ibu mengecut semula selepas bersalin.

Dalam ajaran agama Islam, penyusuan ibu sememangnya telah disyariatkan oleh Allah sebagaimana telah tertulis dalam surah Al-Baqarah ayat 233.
Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.
(Surah al-Baqarah:233)

Allah turut menyebut tentang penyusuan ibu di dalam surah berikut:
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
(Surah Al-Luqman:14)
Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusunya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".
(Surah Al-Ahqaaf:15)

Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

**Antara nota yang saya dapat sewaktu menghadiri ceramah penyusuan ibu di klinik antenatal,HUSM, bagi ibu-ibu yang gusar susu ibu tiada atau tidak mencukupi, bolehlah mengamalkan menyebut nama Allah, asma ul-husna yang ke-55, Al-Matin. InsyaALLAH kita dipermudahkan oleh Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...