Showing posts with label Pesanan. Show all posts
Showing posts with label Pesanan. Show all posts

Friday, May 13, 2011

Hindarilah Kekenyangan

Sabda Nabi S.A.W.

Tiga perkara mempusakai keras hati; kasih akan tidur dan kasih akan kesenangan dan kasih akan makan.

Sabda Nabi S.A.W.

Barang siapa kenyang pada dunia, lapar ia pada hari kiamat dan barangsiapa lapar ia pada dunia, kenyang ia pada hari kiamat.

Sabda Nabi S.A.W.

Asal bagi tiap-tiap penyakit itu kenyang perut.

Sabda Nabi S.A.W. Apabila engkau memakan engkau atau minum, maka kata olehmu:

Dengan nama ALLAH yang mana tiada memberi mudharat berserta namaya sesuatupun, samaada di bumi atau dilangit, wahai yang Maha Hidup lagi berdiri sendiriNya,

Nescaya tiada memberi mudharat akan dikau penyakit dan jikalau padanya racun sekalipun.

Dan sabda Nabi S.A.W. lagi:
Penghulu 'amal itu lapar

Dan sabda Nabi S.A.W. lagi:

Bermula lapar itu otak ibadat (yakni khalis daripada ibadat dan yang jernihnya)

Dan tersebut dalam Ihya', sabda Nabi S.A.W.; Barangsiapa lapar perutnya, besarlah fikirnya dan cerdik hatinya.

Dan Ibnu Abas R.A. sabda Nabi S.A.W.; Barangsiapa kenyang perut dan tidur ia, keras hatinya.

Kemudia berkata ia bagi tiap-tiap sesuatu itu zakat dan zakat badan itu lapar.

Dan sabda Nabi S.A.W.:

Hidupkan olehmu akan hati kamu dengan sedikit tertawa dan sedikit kenyang dan sucikan akan dia dengan berlapar, nescaya jernih ia dan nipis ia.


Petikan kitab: 
Al-Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub (Permata Pemberian Indah dan Mejaga Hati Yang Lalai.
Susunan:
Asy-Syeikh'Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani

Sunday, May 8, 2011

Ibu Oh Ibu

Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika mengandungkan kita, membesar, memelihara dan mendidik kita sehingga kita mampu berdikari. 

Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14: Maksudnya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan”. 

Pengorbanan mereka adalah pengobanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibubapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah. Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 36:
Maksudnya “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri”.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: “Dan Tuhan mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun seperti perkataan “ah” adalah tidak dibenarkan dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun)”. 


Dalam Islam kita dituntut agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan tuntutan tersebut adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan . Ini kerana setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan kelahiran dari seorang ibu. Oleh itu, Islam memandang serius hukum dan adab berkaitan hubungan anak dengan seorang ibu . 

Kita diperintahkan untuk sentiasa melakukan kebaikan , berlemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun terhadap mereka. Lantaran itu juga kita diharamkan dan dilarang keras untuk melakukan kekasaran terhadap mereka samada dengan perbuatan mahupun percakapan hatta dengan perkataan “ah” sekalipun tidak di benarkan memandangkan perkataan menyanggah seperti tersebut menunjukkan tanda ingkar atau membenci terhadap tindakan mereka.

Imbaslah kembali.. Sejak dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga selepas kita dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga dengan penuh kasih sayang. Ketika kita sakit atau demam, ibu baring di sebelah kita untuk memastikan kita selesa. Lahirnya kita ke dunia tanpa seurat benang dari jerit payah ibu menyabung nyawa. Ibu menyusukan kita tatkala perut kita belum mampu menerima apa-apa makanan. Ibulah yang menyuapkan makanan dan minuman tika kita lapar dan dahaga.. Ibulah yang bersama kita.. membimbing kita daripada hanya mampu berbaring, kepada merangkak, bertatih, berjalan dan kini kita mampu berlari. Tatkala kita merajuk ibulah yang pandai memujuk. Dan di sisi ibulah tempat paling nyaman kita berehat.

Renunglah kembali apa yang telah kita lakukan untuk ibu?


Diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)."
 
Berbaktilah kepada mereka sementara mereka masih hidup. Jangan apabila mereka sudah meninggal dunia, barulah kita mahu membina batu nisan terbaik atau mencetak surah Yasin khas untuk tahlil ke atas mereka. 
 
___________________________________________________________________________________
 
Selamat Hari Ibu buat ibuku, Maznah binti Sudin. Terima kasih mak!

Saturday, January 22, 2011

Akhir Dunia

*Tanda-tanda dunia di penghujung nyawa.*

1)  Penaklukan Baitulmuqaddis.
Dari Auf b.  Malik r.a. katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
'Aku menghitung 6 perkara menjelang hari  kiamat.'Baginda  menyebutkan salah satu diantaranya, iaitu penaklukan  Baitulmuqaddis.'
(HR: Bukhari)
*~ dah jadi dah.*

2)  Zina bermaharajalela.
'Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka  pada zaman mereka inilah kiamat akan  datang.'
(HR: Muslim)
*~ dah nampak dah sekarang.*

3)  Bermaharajalela alat muzik.
'Pada akhir zaman akan terjadi tanah  runtuh, rusuhan & perubahan  muka'. Ada yang bertanya  kepada Rasulullah; 'Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi? 'Baginda menjawab: 'Apabila telah bermaharajalela bunyian (muzik) & penyanyi-penyanyi wanita'
(HR:Ibnu Majah)
*~ Mentor, Malaysian Idol, Akademi  Fantasia, Anugerah Muzik.*

4) Menghias masjid & membanggakannya.
'Diantara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegahan dalam  mendirikan masjid'
(HR: Nasai.)
*~ memang dah nampak dah*

5)  Munculnya kekejian, memutuskan kerabat & hubungan dengan tetangga tidak baik.
'Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan & perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim & sikap yang buruk dalam tetangga.'
(HR:Ahmad dan Hakim)
*~ ada anak tak mengaku ada mak/bapak pasal malu.*

6)  Ramai orang soleh meninggal dunia.
'Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang  baik & ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya  kecuali orang-orang yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran'
(HR: Ahmad)
*~ boleh kira berapa para ulama' yang tinggal.*

7)  Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat.
'Diantara tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin  Luka' (orang yang bodoh & hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang  diapit oleh dua orang mulia'
(HR: Thabrani)
*~ kat mana-mana pun ada.*

8)  Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
'Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah  dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.'
(HR: Ahmad)
*~ jiran sesama islam pun tak bertegur sapa.*

9)  Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya  telanjang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. 'Diantara tanda-tanda telah hampir hari  kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita & apabila mereka memakainya  keadaannya seperti telanjang'.
(HR: Abu Hurairah)
*~ fesyen zaman skarang (tube, spaghetti strap, g-string), pakaian ketat nampak segalanya*

10)  Bulan sabit kelihatan besar.
'Diantara tanda-tanda telah dekatnya hari  kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.'
(HR:Thabrani)
*~ tak caya gi tengok.*

11)  Banyak dusta & tidak tepat dalam menyampaikan berita.
'Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar & belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu daripada mereka agar mereka tidak menyesatkanmu & memfitnahmu'
(HR: Muslim)
*~ Siaran TV, akhbar-akhbar harian & yang popular sekarang ni*

12)Banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar.
'Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu & disembunyikan  kesaksian yang benar.'
(HR: Ahmad)
*~ tengok kes-kes mahkamah yang tak sudah-sudah *

13)  Negara Arab menjadi padang rumput & sungai.
'Tidak akan datang hari kiamat sehingga  negeri Arab kembali menjadi padang rumput & sungai-sungai'
(HR: Muslim)
*~cuaca dunia pun dah pelik-pelik dah sekarang*

Monday, January 17, 2011

Jangan Kamu Marah!

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya:" Berwasiatlah kepada ku." Sabda Rasulullah SAW: "Jangan kamu marah." Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:" Jangan kamu marah.."
 
(HR: Al-Bukhari)

Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan." Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. 

Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. 

Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. 

Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.
 
IMAM Syafie ada menegaskan: "Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala ten teranya."

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2.
Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3.
Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4.
Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5.
Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6.
Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana marah itu datang daripada syaitan.

7.
Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8.
Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9.
Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10.
Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11.
Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda. 


Thursday, January 13, 2011

Nasihat Umamah binti Al-Harith

Nasihat ini ditujukan oleh Umamah binti Al-Harith kepada puterinya pada hari pernikahan puterinya.

Wahai puteriku,
Kini, engkau telah meninggalkan rumah tempat engkau dibesarkan ke alam yang serba baru bagimu bersama pasangan yang sebelumnya engkau tidak mengenalinya.
Maka sejak hari ini, engkau telah menjadi milik seseorang.  Jadilah engkau sebaik – baik pelayannya, nescaya ia akan menjadi hamba bagimu.
 
Wahai puteriku,
Jaga sepuluh perkara yang akan kuberikan kepadamu, nescaya akan menjadi kekayaan berharga dan kenangan bagimu.
 
Pertama dan kedua,
Temanilah suamimu dengan sifat qana’ah (apa adanya) dan dengar serta patuhilah perintahnya. 
Sesungguhnya dengan sifat qana’ah, hatimu akan tenang.  Dan mendengar serta patuh kepadanya, engakau akan mendapatkan redha daripada Rabb-mu.
 
Ketiga dan keempat,
Jagalah hidung dan matanya.  Jangan sampai matanya melihat pada dirimu sesuatu yang tidak menyenangkannya.  Atau pun hidungnya mencium darimu, kecuali bau yang harum.
 Maka celak adalah sebaik – baik hiasan mata dan air cukup untuk menghilangkan bau.
 
Kelima dan keenam,
Ingatlah waktu makannya dan tenanglah ketika tidurnya.
Sebab biasanya rasa lapar akan dapat membakar amarah.  Sedangkan kurang tidur akan menimbulkan emosi.
 
Ketujuh dan kelapan
Hormati dan pelihara keluarga, anak – anak dan hartanya.
Jika engkau dapat menjaga hartanya, pastilah engkau akan mendapatkan kehormatannya.  Jika engkau menjaga hak keluarga dan anak – anaknya maka akan membuatnya bersikap baik kepadamu.
 
Kesembilan dan kesepuluh,
Jangan sampai engkau membocorkan rahsianya dan menentang perintahnya.  Jika engkau membocorkan rahasianya, jangan harap engkau selamat dari pembalasannya.  Jika engkau menentang perintahnya maka engkau akan membuat dadanya bergejolak.
Kemudian janganlah engkau bergembira ketika ia sedih ataupun bersedih ketika ia sedang bergembira.
Sebab, yang pertama adalah wujud kurangnya perhatianmu.  Dan yang kedua akan mengeruhkan hubunganmu dengannya.  Usahakan sedaya mungkin untuk menghormatinya nescaya dia akan memberikan penghormatan untukmu.
 
Seperti itu pula, jadilah engkau sahabat yang paling setia padanya, pastilah dia akan berbuat serupa terhadapmu. Ketahuilah wahai puteriku, bahawa engkau mustahil mendapatkan cintanya sampai dirimu rela untuk mengalah dan mengutamakan apa yang diinginkannya daripada harus mengikuti apa yang engkau inginkan.
 
Semoga Allah selalu memberikan kebaikannya kepadamu dan menjagamu.

Wallahualam

Sunday, January 9, 2011

Penawar Kepenatan

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.  

Saidina Ali berkata :

"Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu. Baginda s.a.w. berkata:

"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini.

Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , Insya- Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

(Sabda Rasulullah SAW)
"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."

Thursday, January 6, 2011

Jenis-jenis wanita

Pesanan Imam Al-Ghazali tentang wanita...

"Jangan engkau kahwini wanita yang enam ini, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah."

Wanita Ananah:
banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Wanita Mananah:
suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, "Aku membuat itu keranamu".

Wanita Hananah:
menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah:
melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah:
ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah:
banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Wednesday, December 29, 2010

5 Cara Pilih Sahabat

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

 
Pertama,
pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.
Kedua,
pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya) .
Ketiga,
pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.
Keempat,
pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
Kelima,
sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu. Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Friday, December 24, 2010

Ciumlah anakmu

Cium anak pun boleh dapat pahala


Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.


Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat
syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk kedalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.

Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium."



Sabda Nabi SAW; "Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi.."

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang lelaki bertanya; "Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? "
Jawab baginda; "Berbaktilah kepada ibu bapamu."
Kata lelaki itu lagi; "Ibu bapaku sudah tiada lagi."
Sabda Nabi SAW; "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak
terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu."

Wednesday, December 22, 2010

25 Pesanan Luqmanul Hakim

25 Pesanan Luqmanul Hakim

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam,  banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada Allah .


02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah . Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.


03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah , maka dia tawadduk kepada Allah , dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah .



04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.     


05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.



06 - Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah . Takutlah kepada Allah dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah .      


07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari  tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.



08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.



09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.



10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.



11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ia akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.



12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan it diberikan kepada anjing sahaja.



13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.



14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.



15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang  yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.



16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.



17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan  demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.



18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.



19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riyak yang akan mendatangkan cela pada dirimu.



20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.



21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.        


22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.     


23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.



24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.



25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat  beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...