Showing posts with label catatan. Show all posts
Showing posts with label catatan. Show all posts

Sunday, May 8, 2011

Ibu Oh Ibu

Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika mengandungkan kita, membesar, memelihara dan mendidik kita sehingga kita mampu berdikari. 

Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14: Maksudnya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan”. 

Pengorbanan mereka adalah pengobanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibubapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah. Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 36:
Maksudnya “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri”.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: “Dan Tuhan mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun seperti perkataan “ah” adalah tidak dibenarkan dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun)”. 


Dalam Islam kita dituntut agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan tuntutan tersebut adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan . Ini kerana setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan kelahiran dari seorang ibu. Oleh itu, Islam memandang serius hukum dan adab berkaitan hubungan anak dengan seorang ibu . 

Kita diperintahkan untuk sentiasa melakukan kebaikan , berlemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun terhadap mereka. Lantaran itu juga kita diharamkan dan dilarang keras untuk melakukan kekasaran terhadap mereka samada dengan perbuatan mahupun percakapan hatta dengan perkataan “ah” sekalipun tidak di benarkan memandangkan perkataan menyanggah seperti tersebut menunjukkan tanda ingkar atau membenci terhadap tindakan mereka.

Imbaslah kembali.. Sejak dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga selepas kita dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga dengan penuh kasih sayang. Ketika kita sakit atau demam, ibu baring di sebelah kita untuk memastikan kita selesa. Lahirnya kita ke dunia tanpa seurat benang dari jerit payah ibu menyabung nyawa. Ibu menyusukan kita tatkala perut kita belum mampu menerima apa-apa makanan. Ibulah yang menyuapkan makanan dan minuman tika kita lapar dan dahaga.. Ibulah yang bersama kita.. membimbing kita daripada hanya mampu berbaring, kepada merangkak, bertatih, berjalan dan kini kita mampu berlari. Tatkala kita merajuk ibulah yang pandai memujuk. Dan di sisi ibulah tempat paling nyaman kita berehat.

Renunglah kembali apa yang telah kita lakukan untuk ibu?


Diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)."
 
Berbaktilah kepada mereka sementara mereka masih hidup. Jangan apabila mereka sudah meninggal dunia, barulah kita mahu membina batu nisan terbaik atau mencetak surah Yasin khas untuk tahlil ke atas mereka. 
 
___________________________________________________________________________________
 
Selamat Hari Ibu buat ibuku, Maznah binti Sudin. Terima kasih mak!

Tuesday, April 12, 2011

Nota Hati Ummi di Hari Lahir Afrina ke-2

Tanggal 09 April kembali lagi. Selamat Hari Lahir sayang! Biarpun catatan ini agak lewat dari tarikhnya. Tarikh ini telah membawa Afrina Hannan Hisyam ke dalam hidup ummi. Alhamdulillah kita berdua dipanjangkan umur untuk bersama lagi.

Melihat Afrina membesar di samping ummi,ummi terselit rasa bahagia di celah-celah kepenatan seharian. Melayan keletah dan kerenah Afrina pengubat jiwa ummi. Hari-hari yang dilalui melihat Afrina semakin pandai melakukan itu ini.. beceloteh itu ini.. begitu mengkagumkan ummi tentang kebesaran Allah Yang Maha Agung.

Ummi doakan Afrina sihat selalu, membesar menjadi anak yang solehah dan pintar, serta berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

Tuesday, November 2, 2010

Bacalah


"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)"
(Surah Al-Alaq:1)
Awal agama itu membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu. Dengan membaca kita berfikir. Dengan membaca bertambah ilmu dan mengubah manusia daripada jahiliah kepada bertamadun. Mengenal insan kepada Maha Penciptanya.
Bacalah al-quran kalamullah kerana di dalamnya terkandung petunjuk kepada yang bertaqwa.
Semoga sedikit catatan di blog ini bakal memberi manfaat ilmu buatmu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...