Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Monday, January 17, 2011

Hukum Melintas Di Hadapan Orang Yang Sedang Solat

Larangan Melintas Di Hadapan Orang Yang Sedang Solat
Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda;
"Apabila salah seorang dari kamu menghadap sesuatu yang dapat menutupinya dari orang, kemudian ada orang yang LALU di hadapannya, maka hendaklah ia MENOLAKNYA dari tubuh sebelah atas badannya. Jika orang yang lalu itu MEMBANGKANG, maka PERANGILAH ia kerana sesungguhnya ia adalah SYAITAN."

dan menurut hadis yang lain,
"Maka janganlah MEMBIARKAN seseorang lalu di hadapannya. Jika orang yang lalu itu MEMBANGKANG, maka hendaklah ia MEMERANGINYA, kerana sesungguhnya BERSAMA orang yang lalu itu adalah SYAITAN." 
(HR: Bukhari & Muslim)

Disunatkan kepada setiap orang yang hendak solat untuk membuat batas tempat solatnya dengan menghadap pada tembok atau kayu yang panjangnya sekitar tiga suku hasta. Selain itu boleh juga meletakkan sesuatu atau membentang sejadah malah boleh juga dengan membuat batas atau garis pembatas sebagai tempat solat. Maksudnya supaya ketika solat tidak ada orang yang lalu di hadapannya kerana lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang hukumnya HARAM. Orang itu harus DITOLAK.

Bagi orang yang mengetahui atau orang yang sedang solat itu sendiri, disunatkan MENOLAKNYA dengan gerakan yang tidak sampai MEMBATALKAN solatnya dan dalam solat BERJEMAAH, setiap BARISAN adalah pembatas bagi yang ada di belakang.

Sunday, January 2, 2011

Qada Solat

Solat fardu yang tertinggal wajib diqada. Ulama membahagikan qada solat kepada dua jenis. Yang pertama qada solat bagi mereka yang tertinggal solat dengan keuzuran. Yang kedua qada solat bagi mereka yang tertinggal tanpa keuzuran. 
 
Para ulama fikah dalam mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah, al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah sepakat mewajibkan bersegera dalam mengqada solat wajib yang tertinggal tanpa keuzuran. Ini kerana meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak adalah berdosa. Maka bertaubat daripada dosa dituntut segera.

Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat taubat daripada dosa ini ialah mengqadakan solat yang tertinggal.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan satu peristiwa yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika pulang menunggang unta dari peperangan khaibar telah merasakan mengantuk sangat, sehingga baginda bersabda: 

“Wahai Bilal kita telah ditimpa malam”, maka bilal menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulu llah s.a.w dan para sahabat terus tidur. Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari. Rasulullah s.a.w adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat. Rasulullah s.a.w berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu baginda menunaikan solat fajar dengan mengimami para sahabat. Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: 

“Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” 
(Surah Tahaa:14 ), (HR: Ibn Majah).

 
Persoalannya bolehkah qada solat subuh? Sedangkan selepas subuh adalah waktu haram mendirikan solat. Mungkin ini menjadi asas kepada pandangan segelintir masyarakat yang menyangka tidak boleh melakukan sebarang solat selepas waktu subuh walaupun qada solat. 

Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w daripada ‘Uqbah bin ‘Amir memberitahu yang bermaksud: Baginda Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengkebumikan jenazah pada tiga waktu berikut: ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika matahari berada pada ufuk dan ketika terbenamnya matahari. 
(HR: Muslim)


Namun, solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat sunat, adapun solat fardu tidak ditegah dari melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm: 260-261).Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang ditegah dalam hadis di atas dan waktu-waktu lain.
 
Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan para fuqaha dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm: 144). 

Justeru, dengan nas-nas daripada al-Quran serta hadis dan pandangan ulama yang muktabar jelas kepada kita bahawa qada ini boleh dilakukan pada bila-bila sahaja walaupun selepas subuh dan selepas asar. 

Ini kerana wajib itu kekal wajib. Wajib dalam waktunya apabila tidak ditunaikan pada waktunya wajib itu tidak berubah tuntutannya ia tetap kekal wajib. Malahan orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur, terlupa wajib bersegera mengqadanya. Selagi mana tidak diqada selagi itulah hutang solatnya tertanggung atas bahunya. 

Solat tidak boleh selesai dengan taubat sahaja. Taubat atas perbuatan alpa atau buat-buat alpa dan terlupa. Taubat dalam erti kata menyesal atas sikap acuh tak acuh, dan berjanji dengan Allah dan diri bahawa tidak akan mengulangi tabiat suka leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara solat.

Jika mengharap supaya Allah s.w.t mengampun dosa meninggalkan solat wajib disertakan qada seperti mana yang disebut oleh Saidina Ali bin Abi Talib mengenai taubat.Beliau menyebut enam perkara yang menjadikan taubat itu benar: menyesal terhadap perbuatan yang lepas, berazam tidak akan kembali kepada kancah maksiat, mengembalikan hak orang yang dizalimi, meminta halal pemilik barang sekiranya diambil tanpa izin pemiliknya, melangsaikan ibadat fardu yang tertinggal, mendidik diri dalam mentaati Allah s.w.t seperti mana dididik berbuat maksiat kepada Allah. 

Solat itu adalah tiang agama pelihara ia nescaya kita dipelihara Allah. Bagi sesetengah orang solat fardu pun sudah cukup berat ditunaikan inikan pula mengqada yang tertinggal, pasti sukar. Oleh yang demikian jangan sekali-kali bersikap malas atau alpa daripada solat.

Allah berfirman yang bermaksud, (Kalau orang Yang demikian dikira dari bilangan orang-orang Yang mendustakan ugama), maka Kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka Yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. 
(Surah Al-Maa’un:4- 5).

Tuesday, December 14, 2010

Ajarlah anakmu bersolat

"Suruhlah anak-anakmu bersembahyang
Se Dari Umurnya Tujuh Tahun
Bimbing Mereka Lakukan Kebaikkan
Hidup dan Mati Kerana Tuhan"
Begitulah bait-bait lirik nasyid tempatan yang mengingatkan para ibu bapa tentang tanggung jawab mengajar solat kepada anak-anak mereka. Suruhan ini terkandung dalam hadith Nabi s.a.w.
"Suruhlah anak-anak kamu untuk mengerjakan solat, jika mereka telah mencapai usia 7 tahun. Pukullah mereka kerana meninggalkannya, jika mereka telah mencapai usia 10 tahun, dan pisahkanlah mereka di tempat tidur."
(HR: Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)


Kanak-kanak pada usia ini telah berada pada peringkat baligh dan remaja. Suruhan dan latihan ini adalah untuk membiasakan anak-anak mentaati perintah ALLAH. Ini adalah untuk mempersiapkan mereka supaya mempunyai asas ibadat yang kukuh sebelum memasuki alam dewasa.

Pengenalan ibadat solat kepada anak-anak boleh lah bermula dengan mengenalkan anak-anak kecil mengenai azan, memberitahu mereka jika ada orang sedang solat berhampiran, membelikan sejadah kecil untuk mereka supaya mereka duduk bersama ibubapa dalam solat. Seterusnya jika mereka telah pandai membaca barulah diajar bacaan dalam solat.

Bagi meneruskan usaha supaya mereka taat dalam bersolat, ibu bapa bolehlah berdoa seperti yang terdapat dalam Surah Ibrahim:


"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."
(Surah Ibrahim: 40)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...