Sunday, November 14, 2010

Susu Ibu

Ajaibnya kuasa Allah apabila seorang bayi dilahirkan, secara normal tubuh seorang ibu akan bertindak balas menghasilkan susu apabila hormon prolaktin dirembeskan. Menyusui bayi dengan susu ibu merupakan satu permulaan yang baik. Kebaikannya tidak hanya terserlah untuk bayi tetapi untuk ibu juga. Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran awal bayi. Pada permulaan, susu ibu awal yang dikenali sebagai kolustrum amat berkhasiat untuk makanan dan imuniti bayi kerana ketika itu perut bayi belum mampu menerima apa-apa makanan lain. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. pengeluaran susu ibu juga menggalakkan hormon oksitoksin dihasilkan bagi membantu rahim ibu mengecut semula selepas bersalin.

Dalam ajaran agama Islam, penyusuan ibu sememangnya telah disyariatkan oleh Allah sebagaimana telah tertulis dalam surah Al-Baqarah ayat 233.
Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.
(Surah al-Baqarah:233)

Allah turut menyebut tentang penyusuan ibu di dalam surah berikut:
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
(Surah Al-Luqman:14)
Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusunya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".
(Surah Al-Ahqaaf:15)

Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

**Antara nota yang saya dapat sewaktu menghadiri ceramah penyusuan ibu di klinik antenatal,HUSM, bagi ibu-ibu yang gusar susu ibu tiada atau tidak mencukupi, bolehlah mengamalkan menyebut nama Allah, asma ul-husna yang ke-55, Al-Matin. InsyaALLAH kita dipermudahkan oleh Allah.

Thursday, November 11, 2010

Kelahiran

Pada saat kelahiran berlaku, telah bermula satu kehidupan baru buat seorang insan. Islam telah menganjurkan umatnya mengazankan ke telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Tujuannya adalah bagi megingatkan kembali kepada anak  tentang perjanjiannya dengan Rabbul Izzati.
(Surah Al-A'raf:172)
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)",

Selain itu, amalan berdoa merupakan satu lagi usaha yang dianjurkan. Doa ibu bapa kepada anaknya disabdakan oleh Rasulullah saw (HR: At-Tirmizi) sebagai antara tiga doa yang paling mustajab. Dengan berdoa, ibu bapa menumpahkan harapan kepada Allah swt agar anak-anak menjadi insan yang berguna dan berada dalam perindungan Allah swt.

Antara doa-doa yang dianjurkan:

1. Doa patuh kepada Allah
Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah
(Surah Al-Baqarah:128)

2. Doa diberi anak yang baik
Di sanalah Zakaria mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa".
(Surah Al-Imran:38)
3. Doa mendapat zuriat yang menyenangkan hati
Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Al-Furqan: 74)
4. Doa supaya anak tetap mengerjakan solat
Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.
(Surah Ibrahim:40)
5. Doa untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan
Maka tatkala isteri Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk."
(Surah Al-Imran:36)

Setelah kelahiran bayi ibu bapa akan memberikan nama untuk anak mereka. Disunatkan nama diberikan kepada bayi dalam masa tujuh hari dari kelahirannya sebagaimana telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban. Anak-anak haruslah diberikan dengan nama yang baik kerana nama inilah yang akan dipegang hingga ke akhir hayat mereka.



Afrina Hannan Hisyam

Permata hati kami ini telah selamat dilahirkan pada 9 April 2009 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 6.30 petang secara emergency LSCS.

Afrina adalah gelaran yang membawa maksud yang putih kemerah-merahan. Manakala Hannan bermaksud "kasih sayang" yang menjadi pengukuh kasih sayang antara ummi dan abi.


Tuesday, November 2, 2010

Bacalah


"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)"
(Surah Al-Alaq:1)
Awal agama itu membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu. Dengan membaca kita berfikir. Dengan membaca bertambah ilmu dan mengubah manusia daripada jahiliah kepada bertamadun. Mengenal insan kepada Maha Penciptanya.
Bacalah al-quran kalamullah kerana di dalamnya terkandung petunjuk kepada yang bertaqwa.
Semoga sedikit catatan di blog ini bakal memberi manfaat ilmu buatmu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...