Friday, May 13, 2011

Hindarilah Kekenyangan

Sabda Nabi S.A.W.

Tiga perkara mempusakai keras hati; kasih akan tidur dan kasih akan kesenangan dan kasih akan makan.

Sabda Nabi S.A.W.

Barang siapa kenyang pada dunia, lapar ia pada hari kiamat dan barangsiapa lapar ia pada dunia, kenyang ia pada hari kiamat.

Sabda Nabi S.A.W.

Asal bagi tiap-tiap penyakit itu kenyang perut.

Sabda Nabi S.A.W. Apabila engkau memakan engkau atau minum, maka kata olehmu:

Dengan nama ALLAH yang mana tiada memberi mudharat berserta namaya sesuatupun, samaada di bumi atau dilangit, wahai yang Maha Hidup lagi berdiri sendiriNya,

Nescaya tiada memberi mudharat akan dikau penyakit dan jikalau padanya racun sekalipun.

Dan sabda Nabi S.A.W. lagi:
Penghulu 'amal itu lapar

Dan sabda Nabi S.A.W. lagi:

Bermula lapar itu otak ibadat (yakni khalis daripada ibadat dan yang jernihnya)

Dan tersebut dalam Ihya', sabda Nabi S.A.W.; Barangsiapa lapar perutnya, besarlah fikirnya dan cerdik hatinya.

Dan Ibnu Abas R.A. sabda Nabi S.A.W.; Barangsiapa kenyang perut dan tidur ia, keras hatinya.

Kemudia berkata ia bagi tiap-tiap sesuatu itu zakat dan zakat badan itu lapar.

Dan sabda Nabi S.A.W.:

Hidupkan olehmu akan hati kamu dengan sedikit tertawa dan sedikit kenyang dan sucikan akan dia dengan berlapar, nescaya jernih ia dan nipis ia.


Petikan kitab: 
Al-Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub (Permata Pemberian Indah dan Mejaga Hati Yang Lalai.
Susunan:
Asy-Syeikh'Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani

Sunday, May 8, 2011

Ibu Oh Ibu

Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika mengandungkan kita, membesar, memelihara dan mendidik kita sehingga kita mampu berdikari. 

Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14: Maksudnya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan”. 

Pengorbanan mereka adalah pengobanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibubapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah. Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 36:
Maksudnya “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri”.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: “Dan Tuhan mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun seperti perkataan “ah” adalah tidak dibenarkan dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun)”. 


Dalam Islam kita dituntut agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan tuntutan tersebut adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan . Ini kerana setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan kelahiran dari seorang ibu. Oleh itu, Islam memandang serius hukum dan adab berkaitan hubungan anak dengan seorang ibu . 

Kita diperintahkan untuk sentiasa melakukan kebaikan , berlemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun terhadap mereka. Lantaran itu juga kita diharamkan dan dilarang keras untuk melakukan kekasaran terhadap mereka samada dengan perbuatan mahupun percakapan hatta dengan perkataan “ah” sekalipun tidak di benarkan memandangkan perkataan menyanggah seperti tersebut menunjukkan tanda ingkar atau membenci terhadap tindakan mereka.

Imbaslah kembali.. Sejak dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga selepas kita dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga dengan penuh kasih sayang. Ketika kita sakit atau demam, ibu baring di sebelah kita untuk memastikan kita selesa. Lahirnya kita ke dunia tanpa seurat benang dari jerit payah ibu menyabung nyawa. Ibu menyusukan kita tatkala perut kita belum mampu menerima apa-apa makanan. Ibulah yang menyuapkan makanan dan minuman tika kita lapar dan dahaga.. Ibulah yang bersama kita.. membimbing kita daripada hanya mampu berbaring, kepada merangkak, bertatih, berjalan dan kini kita mampu berlari. Tatkala kita merajuk ibulah yang pandai memujuk. Dan di sisi ibulah tempat paling nyaman kita berehat.

Renunglah kembali apa yang telah kita lakukan untuk ibu?


Diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)."
 
Berbaktilah kepada mereka sementara mereka masih hidup. Jangan apabila mereka sudah meninggal dunia, barulah kita mahu membina batu nisan terbaik atau mencetak surah Yasin khas untuk tahlil ke atas mereka. 
 
___________________________________________________________________________________
 
Selamat Hari Ibu buat ibuku, Maznah binti Sudin. Terima kasih mak!

Tuesday, April 26, 2011

Tafsir Surah ah Al-Waqiah

[1]Apabila berlaku hari kiamat itu,
[2]Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.
[3]Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
[4](Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan.
[5]Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
[6]Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,
[7]Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);
[8]Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?
[9]Dan puak pihak kiri; - alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
[10]Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);
[11]Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),
[12](Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
[13](Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;
[14]Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
[15]Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
[16]Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.
[17]Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka,
[18]Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
[19]Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
[20]Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
[21]Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
[22]Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
[23]Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
[24](Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
[25]Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -
[26]Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).
[27]Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
[28]Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
[29]Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
[30]Dan naungan yang tetap terbentang,
[31]Dan air yang sentiasa mengalir,
[32]Serta buah-buahan yang banyak,
[33]Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
[34]Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
[35]Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
[36]Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
[37]Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
[38](Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
[39]Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
[40]Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
[41]Dan puak kiri, - alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?
[42]Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak
[43]Serta naungan dari asap hitam,
[44]Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.
[45]Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).
[46]Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,
[47]Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?
[48]“Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? ”
[49]Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,
[50]“Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan - pada hari kiamat yang termaklum.
[51]“Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),
[52]Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,
[53]“Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu,
[54]“Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
[55]“Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”.
[56]Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.
[57]Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada - wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).
[58](Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
[59]Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?
[60]Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;
[61](Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.
[62]Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).
[63]Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?
[64]Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?
[65]Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggalah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,
[66](Sambil berkata): “Sesungguhnya kami menanggung kerugian.
[67]“Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) ”
[68]Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
[69]Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?
[70]Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.
[71]Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?
[72]Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya, atau Kami yang menumbuhkannya?
[73]Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.
[74]Oleh yang demikian - (wahai orang yang lalai) - bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).
[75]Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran, -
[76]Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, -
[77]Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),
[78]Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
[79]Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;
[80]Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
[81]Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambilewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini?
[82]Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?
[83]Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, -
[84]Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, -
[85]Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,
[86]Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), -
[87]Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar ?
[88]Kesudahannya: jika ia (yang mati itu) dari orang-orang ” Muqarrabiin “,
[89]Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan.
[90]Dan jika ia dari puak kanan,
[91]Maka (akan dikatakan kepadanya):” Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan”.
[92]Dan jika ia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat,
[93]Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak,
[94]Serta bakaran api neraka.
[95]Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini.
[96]Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.


Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
(HR: daripada Ibn Mas‘ud)

Tuesday, April 19, 2011

Diam!!!

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Hadis-hadis Rasullulah mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

 "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya.Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". 
(HR: Abu Naim)

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". 
(HR:  Bukhari dan Muslim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya".
(HR: At-Tirmizi)

Dari Hind bin Abi Halab r.a ketika menceritakan peribadi Nabi SAW berkata bahawa Rasulullah SAW; (kerana umatnya) berterusan bersedih dan sentiasa berfikir, tidak langsung berasa tenang bila-bila masa pun. Baginda selalu diam dan tidak akan berbicara jika tidak perlu. 
(HR Tirmizi)
Diam merupakan kemampuan menahan diri dari beberapa perkara seperti:
  • Diam dari perkataan dusta
  • Diam dari perkataan sia-sia
  • Diam dari komentar spontan dan kasar
  • Diam dari kata yang berlebihan
  • Diam dari keluh kesah
  • Diam dari niat riak dan ujub
  • Diam dari kata yang menyakiti
  • Diam dari berpura-pura tahu dan pintar 

Hikmah DIAM
  • Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
  • Perhiasan tanpa berhias.
  • Kehebatan tanpa kerajaan.
  • Benteng tanpa pagar.
  • Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
  • Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
  • Menutupi segala aib.

Kata Luqmanul Hakim kepada anaknya; Jikalau berkata-kata itu perak, maka diam itu  adalah emas. Ibnu Mubarak berkata, jikalau berkata-kata pada taat Allah itu perak, maka diam daripada maksiat Allah itu adalah emas.




    Wednesday, April 13, 2011

    Wanita Pertama Masuk Syurga

    Wanita pertama ke syurga

    Impian setiap muslimah ingin ke syurga. Title wanita pertama atau 1st lady pasti menjadi impian wanita apatah lagi ganjaran syurga. Di dunia 1st lady dikaitkan dengan isteri-isteri perdana menteri di seluruh dunia. Keistimewaannya yang diterima sebagai 1st lady dunia gah dengan pelbagai kemudahan dan kemewahan. Inikan pula wanita pertama masuk syurga yang pastinya diinginkan oleh tiap-tiap muslimah.

    Pada suatu hari, Rasulullah SAW membicarakan mengenai kenikmatan syurga dan orang-orang yang tinggal di dalamnya bersama Saiditina Fatimah Az-Zahra, puterinya. Lalu baginda ditanya oleh Fatimah, siapakah wanita pertama masuk ke syurga. Maka baginda pun menjelaskan: 

    “Wahai anakanda! Wanita pertama yang akan masuk ke syurga hanyalah seorang perempuan biasa dan kehidupannya amat sederhana.” 

    Mendengar kata-kata Rasulullah itu maka air muka puteri Rasulullah SAW itu terus berubah. 

    Lalu dikatakanya kepada ayahandanya: 

    “Lantas, siapakah wanita itu wahai ayahandaku? Macamana halnya dan bagaimana amalanya sehingga dia dapat terlebih dahulu masuk ke syurga daripada anakanda?”. 

    Lalu Rasulullah SAW menyarankan puterinya itu untuk menziarahi rumah wanita tersebut yang terletak di Jabal Uhud. 

    Saidatina Fatimah kemudian keluar untuk mencari wanita yang dikatakan akan masuk ke syurga terdahulu daripadanya itu. Setibanya di rumah wanita tersebut, beliau pun mengetuk pintu rumah tersebut. Wanita dari dalam rumah keluar sambil bertanyakan hajat kedatanganya, tetapi tidak pula dijemput Saidatina Fatimah masuk ke dalam rumahnya. 

    Saidatina Fatimah menyatakan bahawa kedatanganya adalah untuk berjumpa dan berkenalan denganya. Wanita itu menjawab: 

    “Terima kasih puan. Tetapi saya tidak dapat membenarkan puan masuk kerana suami saya tiada di rumah. Nanti saya minta izin daripadanya apabila dia balik. Silalah datang pada esok hari.” 

    Saidatina Fatimah pulang ke rumah dengan perasaan sedih dan hampa kerana tidak dapat bercakap panjang dengan wanita itu. Keesokan harinya, Saidatina Fatimah datang lagi bersama dengan anaknya Hassan. 

    Sebaik sahaja tiba di rumah itu, wanita dari dalam rumah tersebut membuka pintu. Namum belum sempat Saidatina Fatimah dipersilakan masuk, wanita tersebut terlihat anak lelaki puteri Rasulullah itu turut ada bersama, lantas wanita tersebut melarang Fatimah untuk menjejak masuk ke dalam rumahnya. Saidatina Fatimah menjelaskan bahawa kanak-kanak lelaki tersebut adalah anak lelaki nya, Hassan. Lalu wanita tersebut berkata: 

    “Maaf puan, saya meminta izin daripada suami saya hanya untuk puan sahaja masuk, tidak termasuk budak lelaki ini sekali.”

    Saidatina Fatimah serba salah, kerana jikalau hendak pulang ke rumah semula jauh. Hendak masuk ke rumah wanita tersebut, tidak mendapat keizinan dari wanita tersebut. Akhirnya Saidatina Fatimah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah juga. 

    Keesokan harinya, Saidatina Fatimah datang lagi dengan membawa kedua-dua puteranya Hassan dan Hussein. Namun kehadiran Saidatina Fatimah kali ini benar-benar membuatkan wanita itu terkejut besar apabila mendapati ada seorang lagi budak lelaki yang belum diminta keizinan dari suaminya untuk masuk. Saidatina Fatimah terpaksa pulang dengan hampa untuk kali yang ketiga. 

    Setelah si suami pulang, wanita itu memberitahu tentang kehadiran puteri Rasulullah bersama-sama dengan cucu baginda sekali iaitu Hassan dan Hussein. Si suami sangat terkejut dan berkata: 

    “Kenapa awak tidak membenarkan mereka masuk? Bukankah Saidatina Fatimah itu puteri Rasulullah s.a.w dan dua orang anaknya itu cucu Rasulullah? Sepatutunya awak membenarkan mereka masuk, kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung kepada keredhaanya (Rasulullah s.a.w). Selepas ini, jika merek datang ke sini lagi dengan membawa apa pun siapa pun, terimalah dengan sebaik-baiknya dan hormatilah mereka dengan sebagaimana yang patut sebagai darjat mereka.”

    Kemudian wanita itu menjawab:

    “Baiklah. Tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak.”

    Pada keesokan harinya, Saidatina Fatimah datang semula ke rumah tersebut dengan membawa kedua-dua anaknya. Mereka dilayan dengan sewajarnya dan mereka memulakan perbualan. Tiada apa yang menarik perhatian Saidatina Fatimah tentang perempuan itu. Sedang asyik berbual-bual, tiba-tiba wanita tersebut bangun dan segera mempresiapkan dirinya. Dengan penampilan mengghairahkan, wanita itu berdiri di muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menanti kedatangan seseorang. Di sebelah tangannya memegang tongkat dan sebelah lagi memegang segelas air minuman. Wanita itu juga menyingsingkan kainnya dengan hujung jarinya sehingga menampakkan betis dan sedikit pehanya beserta wajah tersenyum manis. 

    Wanita itu langsung tidak menghiraukan Saidatina Fatimah, seolah-olah beliau tidak ada di dalam rumah tersebut. Fatimah berasa kurang senang dengan perlakuan wanita itu, lantas Fatimah bertanya kepada wanita dan inginkan penjelasan mengapa wanita tersebut berpenampilan sebegitu. Wanita itu menjelaskan: 

    “Puan, maafkan saya kerana tidak dapat melayan puan dengan sebaik-baiknya. Sebenarnya saya sedang menunggu suami saya yang akan pulang pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.”

    Lantas Saidatina Fatimah bertanya: 

    “Apa gunanya tongkat dan air minuman itu wahai saudari?”.

    Sekiranya suami saya dahaga sebaik sahaja sampai di rumah, saya akan segera menghulurkan minuman ini kepadanya. Tongkat ini pula untuk memudahkan dia untuk memukul saya sekiranya dia tidak berpuas hati terhadap layanan yang saya berikan kepadanya.

    jawab wanita itu. Saidatina Fatimah bertanya lagi: 

    “Kenapa pula puan menyelakkan kain sehingga menampakkan aurat? Bukankah perbuatan seperti itu haram?”

    Jawab wanita itu: 

    “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini, tentulah menambahkan nafsu syahwatnya yang memudahkan kepada maksudnya.” 

    Saidatina Fatimah mendengar penjelasan dari wanita itu dengan penuh hairan lantas berkata kepada dirinya sendiri: 

    "Wanita pertama yang akan masuk ke syurga adalah Mutiah. Dia hanyalah seorang wanita biasa dan kehidupannya amat sederhana"

    Fatimah pun pulang ke rumah dan terus menemui ayahandanya. 

    Beliau berkata: 

    “Anakanda berasa sungguh sedih kerana tidak dapat meniru dan mengamalkan tingkah laku yang ayahanda ceritakan padaku.” 

    Rasulullah s.a.w tersenyum mendengar rintihan Saidatina Fatimah . Faham dengan perasaan puterinya itu, baginda lantas berkata: 

    “Anakanda, janganlah terlalu bersusah hati. Wanita yang anakanda temui itu ialah wanita yang bakal memimpin dan memegang tali tunggangan anakanda ketika masuk ke syurga. Sebab itulah dia masuk terlebih dahulu.” 

    Mendengar penjelasan itu barulah Saidatina Fatimah tersenyum kembali.


    Tuesday, April 12, 2011

    Nota Hati Ummi di Hari Lahir Afrina ke-2

    Tanggal 09 April kembali lagi. Selamat Hari Lahir sayang! Biarpun catatan ini agak lewat dari tarikhnya. Tarikh ini telah membawa Afrina Hannan Hisyam ke dalam hidup ummi. Alhamdulillah kita berdua dipanjangkan umur untuk bersama lagi.

    Melihat Afrina membesar di samping ummi,ummi terselit rasa bahagia di celah-celah kepenatan seharian. Melayan keletah dan kerenah Afrina pengubat jiwa ummi. Hari-hari yang dilalui melihat Afrina semakin pandai melakukan itu ini.. beceloteh itu ini.. begitu mengkagumkan ummi tentang kebesaran Allah Yang Maha Agung.

    Ummi doakan Afrina sihat selalu, membesar menjadi anak yang solehah dan pintar, serta berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

    Kisah Siti Fatimah ra : Puteri Rasulullah saw

    Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s. a. w. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r. a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.
    Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s. a. w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

    Namun jauh di sanubari Rasulullah s. a. w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah s. a. w. pernah bersabda kepada Sayyidina Ali,"Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia."(Riwayat Abu Hurairah)
    Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.

    Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

    Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

    Suatu hari, Rasulullah s. a. w. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.
    Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu. "

    Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"
    Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah s. a. w. menghentikannya.

    Berkata Rasulullah s. a. w. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.
    Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"

    "Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.
    Rasulullah s. a. w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah' , 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

    Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya

    Sunday, February 27, 2011

    Nabi Muhammad S.A.W.


    KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH

    Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan orang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keislaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah :

    - Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah.
    - Aku melihat cahaya dari lidahnya.
    - Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
    - Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
    - Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
    - Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
    - Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama.
    - Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
    - Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
    - Wajahnya seperti bulan purnama.  
    - Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah ditengahnya.
    - Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
    - Mata baginda hitam,dengan bulu mata yang panjang.
    - Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
    - Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
    - Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
    - Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.  
    - Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
    - Janggutnya penuh dan tebal menawan.
    - Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak sangat indah.
    - Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
    - Rambutnya sedikit ikal.
    - Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
    - Rambutnya terbelah di tengah.
    - Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
    - Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
    - Seimbang antara kedua bahunya.
    - Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
    - Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
    - Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. Kakinya berisi tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
    - Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
    - Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.  
    - Warna putihnya lebih banyak.
    - Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
    - Warna kulitnya putih tapi sihat.
    - Kulitnya putih lagi bercahaya.
    - Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
    - Badannya tidak gemuk.
    - Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
    - Perutnya tidak buncit.
    - Badannya cenderung kepada tinggi,semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

    Wednesday, February 23, 2011

    Sugi

    Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi. Bersugi hukumnya adalah sunat dan masanya ialah bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca Al-Quraan dan ketika berubah bau mulut. Dihukumkan makruh bersugi apabila telah gelincir matahari (masuk waktu Zohor) bagi orang yang berpuasa , sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
    “ Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu disisi Allah s.w.t. itu lebih harum daripada kasturi “.
    (HR: Muslim)

    - Pada pendapat Imam Nawawi r.a.h bahawa tidak makruh bersugi bagi orang yang berpuasa sama ada telah gelincir matahari atau belum gelincir matahari.
    Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu arak ( siwak ) , rotan manggar kelapa dan lain-lain.

    Hadith Rasulullah s.a.w. tentang bersugi :
    Dari Aisyah r.a.h. “ Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “.
       (HR: Baihaqi)
    Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. telah bersabda : " Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk “.
    (HR: Ahmad)

    Cara perlaksanaan bersugi hendaklah dengan tangan kanan dan dimulakan dengan sebelah kanan mulut dan terus dilakukan atas langit-langit mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi.

    Di antara kelebihan bersugi ialah :

            1) Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

    “ Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang dengan tidak bersugi."
    (HR: Muslim)
    2) Dapat menambahkan akal.
    3) Dapat mencerahkan mata.
    4) Melambatkan tumbuh uban .
    5) Dapat menggandakan pahala.
    6) Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal .
    Sekiranya tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang dituntuti hendaklah ia bersugi sekali dalam sehari.
    Di antara sebab-sebab solat orang yang bersugi itu lebih afdhal dan lebih besar fadhilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk sembahyangnya serta dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa sembahyang dengan bau mulut yang bersih dan harum serta cahaya gigi yang segar .

    ( Rujukan Kitab - Kitab Matla’al Badraian – Syeikh Daud Fattani )

    Ummatti

    Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam", kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

    Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan
    bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"
    "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,"

    tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan
    pandangan yang menggetarkan.

    Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
    "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia.
    Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,
    Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan
    kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

    Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit
    dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

    "Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?", tanya Rasululllah
    dengan suara yang amat lemah.
    "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu.

    "Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

    Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh

    kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?", tanya Jibril lagi.

    "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

    "Jangan  khuatir, wahai Rasul ! Allah, aku pernah mendengar Allah
    berfirman kepadaku: "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

    Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh
    Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini."
    Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya
    menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

    "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?"

    Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

    "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata
    Jibril.
    Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, kerana sakit yang tidak
    tertahankan lagi.

    "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua seksa maut ini
    kepadaku, jangan pada umatku."
    Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
    Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, ! Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku" "peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."
    Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
    "Ummatii,ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

    Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

    Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?

    Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi

    Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

    Wednesday, February 9, 2011

    Kehebatan Surah Al-Ikhlas

    "Auzubillah himinashsyaitan nirrajim...bismillahirrahmannirrahim"

    Tafsirannya:
    Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

    Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas,kemudian bacalah surah Al-Ikhlas
    sebanyak 3 kali.

    Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut. Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.


    Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad s.a.w :

    "Barang siapa membaca Qul huwa"llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa si fulan itu telah menjadi pemerdekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka". 

    Inilah yang dinamakan membaca Qulhua"llah ahad satu khatam iaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita sehari.

    Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:


    Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby). 


    Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu)tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.

    Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:


    Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami,sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.


    Sabda Rasulullah SAW lagi:


    Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s. Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, and an-annas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke jumaat yang berikutnya.


    Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq and an-nass pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...