Wednesday, December 29, 2010

5 Cara Pilih Sahabat

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

 
Pertama,
pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.
Kedua,
pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya) .
Ketiga,
pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.
Keempat,
pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
Kelima,
sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu. Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Friday, December 24, 2010

Rasulullah dan limau

Suatu Hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk Baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa terlihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.Hadiah itu dimakan oleh Baginda Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan senyuman.


Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAWterus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.Lalu mereka bertanya.


Dengan senyuman Rasulullah menjelaskan 'Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang Ada di antara kalian akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya'.Begitulah akhlak Rasullullah SAW.



Baginda tidak akan memperkecil- kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, Dan dari orang yang bukan Islam pula."selemah- lemah manusia ialah org yg tidak boleh mencari sahabat Dan orang yg lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia- siakan sahabat yang telah dicari dan berburuk sangka pula kepadanya"-Saidina Ali



Wallahualam

Ciumlah anakmu

Cium anak pun boleh dapat pahala


Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.


Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat
syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk kedalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.

Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium."



Sabda Nabi SAW; "Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi.."

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang lelaki bertanya; "Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? "
Jawab baginda; "Berbaktilah kepada ibu bapamu."
Kata lelaki itu lagi; "Ibu bapaku sudah tiada lagi."
Sabda Nabi SAW; "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak
terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu."

Sinar Cahaya Ayat Kursi


Ayat Kursi merupakan ayat yang paling agung di dalam al-Quran, malah ia juga dikenali sebagai penghulu seluruh ayat al-Quran.


 
Daripada kedudukannya dalam Al-Quran, sabda Nabi ketika ditanya oleh Abu Zar: "Ayat manakah yang diturunkan kepadamu yang paling Agung?" Jawab Baginda: "Ia adalah ayat Kursi"


(HR: Imam Ahmad, al-Nasai, al-Hakim dan al-Baihaqi).

 

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis:


1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.



2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.


3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap solat, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya.


Sabda Rasulullah: "Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, Allah akan memberikannya hati orang yang bersyukur, amalan orang yang membenarkan Allah, pahala nabi-nabi, melimpahkan rahmat-Nya dan tidak menghalangnya daripada masuk syurga melainkan kematian yang akan memasukkannya"

(HR: al-Nasai)


4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap solat fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur,setiap perbuatan orang yang benar,pahala nabi-nabi serta Allah melimpahkan

padanya rahmat.


5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.



6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.



Sabda Rasulullah: "Bacalah ayat Kursi kerana sesungguhnya ia mengawal jaga kamu, zuriat dan rumah tangga kamu sehingga bilik kecil di sekeliling rumahmu." Sabda Rasulullah lagi: "Di dalam surah al-Baqarah, ada satu ayat yang menjadi penghulu bagi ayat Al-Quran, tidak dibacanya dalam rumah yang ada di dalamnya syaitan melainkan keluar ia daripadanya, itulah ayat Kursi"
(HR: al-Hakim)



7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.


8) Abdurahman bin Auf menerangkan bahawa, ia apabila masuk ke rumahnya dibaca ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pelindung syaitan.


9)Syeikh Buni menerangkan: sesiapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran denga nisyarat nafas sambil membaca ayat Kursi. Kemudian ia masuk bersama jamaahnya kedalam garis lingkaran tersebut menghadap kearah musuh, sambil membaca ayat Kursi sebayak 50 kali, atau sebanayk 170 kali, insyaAllah musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudharatkannya.



10) Syeikul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan bahawa; sesiapa yang membaca ayat Kursi sebanyak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi al-Quran yang mulia, Tuhan akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (dari kitab Khawasul Qur’an)



Wednesday, December 22, 2010

25 Pesanan Luqmanul Hakim

25 Pesanan Luqmanul Hakim

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam,  banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada Allah .


02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah . Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.


03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah , maka dia tawadduk kepada Allah , dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah .



04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.     


05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.



06 - Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah . Takutlah kepada Allah dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah .      


07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari  tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.



08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.



09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.



10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.



11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ia akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.



12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan it diberikan kepada anjing sahaja.



13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.



14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.



15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang  yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.



16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.



17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan  demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.



18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.



19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riyak yang akan mendatangkan cela pada dirimu.



20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.



21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.        


22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.     


23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.



24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.



25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat  beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.


Tuesday, December 14, 2010

Ajarlah anakmu bersolat

"Suruhlah anak-anakmu bersembahyang
Se Dari Umurnya Tujuh Tahun
Bimbing Mereka Lakukan Kebaikkan
Hidup dan Mati Kerana Tuhan"
Begitulah bait-bait lirik nasyid tempatan yang mengingatkan para ibu bapa tentang tanggung jawab mengajar solat kepada anak-anak mereka. Suruhan ini terkandung dalam hadith Nabi s.a.w.
"Suruhlah anak-anak kamu untuk mengerjakan solat, jika mereka telah mencapai usia 7 tahun. Pukullah mereka kerana meninggalkannya, jika mereka telah mencapai usia 10 tahun, dan pisahkanlah mereka di tempat tidur."
(HR: Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)


Kanak-kanak pada usia ini telah berada pada peringkat baligh dan remaja. Suruhan dan latihan ini adalah untuk membiasakan anak-anak mentaati perintah ALLAH. Ini adalah untuk mempersiapkan mereka supaya mempunyai asas ibadat yang kukuh sebelum memasuki alam dewasa.

Pengenalan ibadat solat kepada anak-anak boleh lah bermula dengan mengenalkan anak-anak kecil mengenai azan, memberitahu mereka jika ada orang sedang solat berhampiran, membelikan sejadah kecil untuk mereka supaya mereka duduk bersama ibubapa dalam solat. Seterusnya jika mereka telah pandai membaca barulah diajar bacaan dalam solat.

Bagi meneruskan usaha supaya mereka taat dalam bersolat, ibu bapa bolehlah berdoa seperti yang terdapat dalam Surah Ibrahim:


"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."
(Surah Ibrahim: 40)

Thursday, December 2, 2010

Antara Ilmu dan Harta

Nabi s.a.w bersabda; ertinya;

Aku bendaharaan 'ilmu dan 'Ali pintunya.

Orang-orang Khawarij telah mendengar hadith ini dan telah pergi menemui Saiyidina 'Ali dan bertanya ia "Hai 'Ali! 'Ilmu afdhalkah atau harta?' Maka berikut adalah jawapan yang telah diberikan oleh Saiyidina 'Ali;

Ilmu afdhal daripada harta kerana;

  1. 'Ilmu itu pusaka anbiya', dan harta itu pusaka Qarun, Syadad dan Firaun dan seumpama mereka itu.
  2. 'Ilmu itu memelihara akan dikau dan harta engkau yang peliharakan dia.
  3. Empunya harta itu banyak seteru dan orang yang mempunyai 'ilmu itu banyak taulannya.
  4. Harta itu apabila engkau nafkahkan ia akan berkurang, dan 'ilmu itu apabila engkau nafkahkan ia akan bertambah.
  5. Empunya harta akan diseru dengan nama bakhil dan cela, manakala empunya 'ilmu diseru dengan nama besar dan mulia.
  6. Harta perlu diperlihara daripada pencuri, dan 'ilmu tiada dipeliharakan daripada pencuri.
  7. Empunya harta akan dihisab pada hari kiamat, dan empunya 'ilmu disyafa'atkan akan dia pada hari kiamat.
  8. Harta akan binasa dengan lamanya masa, dan 'ilmu tiada binasa dengan demikian itu.
  9. Harta mengeraskan hati dan 'ilmu menerangkan hati.
  10. Empunya harta mendakwakan ketuhanan sebab harta, dan empunya 'ilmu mendakwakan kehambaan.

Sunday, November 14, 2010

Susu Ibu

Ajaibnya kuasa Allah apabila seorang bayi dilahirkan, secara normal tubuh seorang ibu akan bertindak balas menghasilkan susu apabila hormon prolaktin dirembeskan. Menyusui bayi dengan susu ibu merupakan satu permulaan yang baik. Kebaikannya tidak hanya terserlah untuk bayi tetapi untuk ibu juga. Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran awal bayi. Pada permulaan, susu ibu awal yang dikenali sebagai kolustrum amat berkhasiat untuk makanan dan imuniti bayi kerana ketika itu perut bayi belum mampu menerima apa-apa makanan lain. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. pengeluaran susu ibu juga menggalakkan hormon oksitoksin dihasilkan bagi membantu rahim ibu mengecut semula selepas bersalin.

Dalam ajaran agama Islam, penyusuan ibu sememangnya telah disyariatkan oleh Allah sebagaimana telah tertulis dalam surah Al-Baqarah ayat 233.
Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.
(Surah al-Baqarah:233)

Allah turut menyebut tentang penyusuan ibu di dalam surah berikut:
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
(Surah Al-Luqman:14)
Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusunya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".
(Surah Al-Ahqaaf:15)

Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

**Antara nota yang saya dapat sewaktu menghadiri ceramah penyusuan ibu di klinik antenatal,HUSM, bagi ibu-ibu yang gusar susu ibu tiada atau tidak mencukupi, bolehlah mengamalkan menyebut nama Allah, asma ul-husna yang ke-55, Al-Matin. InsyaALLAH kita dipermudahkan oleh Allah.

Thursday, November 11, 2010

Kelahiran

Pada saat kelahiran berlaku, telah bermula satu kehidupan baru buat seorang insan. Islam telah menganjurkan umatnya mengazankan ke telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Tujuannya adalah bagi megingatkan kembali kepada anak  tentang perjanjiannya dengan Rabbul Izzati.
(Surah Al-A'raf:172)
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)",

Selain itu, amalan berdoa merupakan satu lagi usaha yang dianjurkan. Doa ibu bapa kepada anaknya disabdakan oleh Rasulullah saw (HR: At-Tirmizi) sebagai antara tiga doa yang paling mustajab. Dengan berdoa, ibu bapa menumpahkan harapan kepada Allah swt agar anak-anak menjadi insan yang berguna dan berada dalam perindungan Allah swt.

Antara doa-doa yang dianjurkan:

1. Doa patuh kepada Allah
Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah
(Surah Al-Baqarah:128)

2. Doa diberi anak yang baik
Di sanalah Zakaria mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa".
(Surah Al-Imran:38)
3. Doa mendapat zuriat yang menyenangkan hati
Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Al-Furqan: 74)
4. Doa supaya anak tetap mengerjakan solat
Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.
(Surah Ibrahim:40)
5. Doa untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan
Maka tatkala isteri Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk."
(Surah Al-Imran:36)

Setelah kelahiran bayi ibu bapa akan memberikan nama untuk anak mereka. Disunatkan nama diberikan kepada bayi dalam masa tujuh hari dari kelahirannya sebagaimana telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban. Anak-anak haruslah diberikan dengan nama yang baik kerana nama inilah yang akan dipegang hingga ke akhir hayat mereka.



Afrina Hannan Hisyam

Permata hati kami ini telah selamat dilahirkan pada 9 April 2009 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 6.30 petang secara emergency LSCS.

Afrina adalah gelaran yang membawa maksud yang putih kemerah-merahan. Manakala Hannan bermaksud "kasih sayang" yang menjadi pengukuh kasih sayang antara ummi dan abi.


Tuesday, November 2, 2010

Bacalah


"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)"
(Surah Al-Alaq:1)
Awal agama itu membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu. Dengan membaca kita berfikir. Dengan membaca bertambah ilmu dan mengubah manusia daripada jahiliah kepada bertamadun. Mengenal insan kepada Maha Penciptanya.
Bacalah al-quran kalamullah kerana di dalamnya terkandung petunjuk kepada yang bertaqwa.
Semoga sedikit catatan di blog ini bakal memberi manfaat ilmu buatmu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...